اَلْفَتَّاحُ

AL-FATTAH

ALLAH YANG MAHA MEMBUKAKAN

Di antara nama Allah s.w.t di dalam rantaian Asmaul Husna Allah s.w.t ialah Allah al-Fattah iaitu Allah Yang Maha Membukakan sesuatu. Allah s.w.t membukakan pintu-pintu kebaikan, rahmat dan sebagainya kepada orang yang beriman dan orang-orang yang dikasihiNya di kalangan orang-orang yang soleh. Apabila dibicara mengenai Allah al-Fattah, maka terdapat tujuh perkara yang dibukakan Allah s.w.t.

  1. Allah s.w.t melimpahkan ilmu pengetahuan kepada hambaNya

Allah al-Fattah membukakan ilmu pengetahuan kepada manusia. Kerana itu, orang Islam diajar untuk memulakan majlis ilmu dengan berdoa.

Antara doa yang sering dibacakan ialah:

اللّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ رَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

 Ya Allah, kurniakanlah kepada kami hikmatmu dan lempahkanlah rahmat dari khazanahmu, wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rahmat.

  1. Allah s.w.t membukakan keyakinan kepada hambaNya

Dalam erti kata yang lain keyakinan adalah iman. Keyakinan adalah salah satu daripada apa yang dibukakan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Setiap Muslim wajib meyakini kekuasaan Allah s.w.t. Ada sebahagian manusia tidak yakin dengan kekuasaan Allah s.w.t. Umat pada zaman nabi-nabi terdahulu, walaupun setelah nabi-nabi menunjukkan mukjizat mereka, masih juga ada umat yang tidak mahu beriman kepada Allah. Ini kerana, Allah s.w.t tidak membukakan keyakinan kepada mereka. Sebagaimana kisah Nabi Syu‘aib a.s, baginda a.s diutuskan kepada dua kaum iaitu Kaum Madyan dan Kaum Aikah. Kedua-dua kaum ini menyara hidup dengan berniaga. Tetapi mereka menipu dalam perniagaan. Maka Nabi a.s mengingatkan kaumnya tetapi mereka tetap berdegil dan tidak mengikuti kata-kata baginda a.s

Akhirnya, baginda berdoa sebagaimana dalam al-Quran:

رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ

 Ya Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.

  1. Allah s.w.t memberikan jalan keselamatan kepada hambaNya

Allah al-Fattah membuka jalan-jalan dan pintu-pintu keselamatan

Firman Allah s.w.t:

فَافْتَحْ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ فَتْحاً وَنَجِّنِي وَمَن مَّعِي مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

 Maka itu adakanlah suatu keputusan antaraku dan antara mereka, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang mukmin besertaku.

  1. Allah s.w.t melimpahkan nikmat kepada hambaNya

Allah s.w.t al-Fattah iaitu Allah s.w.t membukakan pintu-pintu nikmat

Firman Allah s.w.t:

مَا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِن بَعْدِهِ

 Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu.

  1. Allah s.w.t memberikan hidayah kepada hambaNya yang dikehendaki

Allah Yang Maha Membuka akan membukakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Hidayah bermaksud gerak hati yang selaras dengan keredhaan Allah s.w.t. Sebenarnya manusia bertindak mengikut gerak hatinya. Orang yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t akan ditunjukkan jalan yang lurus bagi mereka, secara tidak langsung gerak hati mereka juga selaras dengan keredhaan Allah s.w.t. Maka kita sebagai hamba Allah s.w.t berdoalah dan mohonlah hidayah dariNya.

  1. Allah s.w.t memberikan keberkatan kepada hambaNya

Keberkatan ialah  ”زِيَادَةُ الْخَيْرِ“yang bermaksud pertambahan kebaikan. Jika seseorang dalam keadaan sihat, rohani dan jasmani, terdapat keberkatan pada kesihatan itu, maka dengan keberkatan itu akan mencambahkan lagi perkara-perkara yang baik. Kemudian apabila ada keberkatan pada harta, dengan keberkatan itu, harta itu dapat dimanfaatkan dengan cara melakukan kebaikan seperti menggunakannya untuk menunaikan haji, bersedekah, zakat, wakafkan harta dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.

  1. Allah s.w.t membukakan pintu rahmat kepada hambaNya

Allah al-Fattah membukakan pintu rahmat untuk hambaNya. Rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t akan diberikan kepada semua hambanya di dunia. Bila mana Allah memberikan rahmat kepada hambaNya, Allah tidak akan meninggalkan hamba itu keseorangan. Diberikan jalan keluar untuk setiap permasalahan yang dialami. Bila mana hambaNya mempunyai hajat, Allah tunaikan untuknya hajat yang dipinta. Apabila terdetik sesuatu keinginan, Allah s.w.t akan penuhi hajat untuknya. Sehinggakan orang yang mendapat rahmat Allah boleh sampai ke satu peringkat yang tertinggi yang mana mencapai tahap Allah meredhainya dan dia meredhai Allah

Seperti mana yang disebutkan Allah s.w.t dalam al-Quran:

رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

 Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepadaNya.

Seseorang itu akan berasa sangat gembira apabila ditunjukkan oleh Allah jalan keluar dari permasalahannya. Dia akan merasakan Allah sentiasa bersamanya walau dalam apa jua keadaan. Inilah yang dirasai oleh seluruh para sahabat Nabi s.a.w. Kerana itu, mereka diberikan gelaran وَرَضُوا عَنْهُ. Kemana sahaja mereka pergi, jiwa mereka akan tenang kerana dapat merasakan keredhaan Allah s.w.t. Terdapat satu maqam sahabat di Guang Zhoa, China. Ketika Rasulullah s.a.w wafat, sahabat ini berjanji pada dirinya untuk membawa Islam ke negeri China. Katanya, “Aku ke negeri China adalah untuk mengIslamkan China dan aku tidak akan kembali ke negeri Arab. Satu antara dua pasti akan berlaku samada aku syahid di bumi China atau Islam tersebar di bumi China.”

Dapatkan Kitab Syarah Asmaul Husna

yang disusun oleh Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin

– KULIT TEBAL
– SIZE 21 X 29.7 CM (A4 SIZE)
– BERAT 1.6 KG
– 590 MUKA SURAT

PERCUMA dengan setiap pembelian Kitab Syarah Asmaul Husna:
– 1 Siri (20 Video) sistem pengajian online (Teachable) Kuliah Syarah Asmaul Husna oleh Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin.
– Sijil Talaqqi Kitab Syarah Asmaul Husna akan diberikan jika anda berjaya mengikuti 100 kuliah dan menjawab soalan-soalan di sistem pengajian online (Teachable)

Harga (Tidak Termasuk Postage):
RM 120.00

Anda boleh dapatkan kitab ini dengan melayari:

Atau boleh berhubung dengan kami: